Thursday, May 14, 2009

adakah pandan height condo black area.?

AMPANG: Kematian tragis seorang gadis berpakaian seksi yang ditemui mayatnya di bawah sebuah unit kondominium mewah di sini, menimbulkan persoalan sama ada mangsa ditolak jatuh atau terjatuh dari tingkat 16 kediamannya berikutan jiran mendakwa terdengar pertengkaran sebelum kejadian.

Mangsa berusia awal 20-an sebelum itu didakwa bertengkar lebih dua jam sebelum dipercayai terjatuh dari tingkap dapur unit kondominium Pandan Height Pandan Perdana, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi semalam, mayat mangsa yang dipercayai warga Myanmar ditemui remuk hampir seluruh tubuh selain pecah kepala kesan hentaman kuat sejurus terjatuh dari ketinggian hampir 100 meter itu.

Sumber polis berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan kakaknya sebelum itu dikesan muncul di kawasan kondominium berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam.

Menurutnya, mangsa dan kakaknya yang berusia 20-an kemudian ke sebuah unit yang didiami seorang lelaki tempatan yang baru dikenali mereka tiga hari lalu di sebuah pusat hiburan berhampiran.

“Ketika berada dalam rumah sewa lelaki terbabit, dua beradik terbabit dikatakan bertengkar. Difahamkan, lelaki terbabit ketika itu berada dalam bilik tidurnya.

“Lelaki terbabit yang terkejut selepas mendengar pertengkaran itu kemudian keluar untuk mententeramkan keadaan sebelum kembali semula ke bilik tidurnya,” katanya.

Menurutnya, pertengkaran mereka berlanjutan menyebabkan lelaki terbabit keluar sebelum balik semula ke kondominiumnya beberapa jam kemudian.

“Ketika itu, lelaki berkenaan menemui kakak mangsa sedang menangis bersendirian manakala mangsa tiada dalam rumah.

“Mangsa dipercayai terjatuh dari tingkap dapur unit kondominium itu yang terletak di tingkat 16 sebelum terhempas ke kawasan lantai konkrit berhampiran tempat meletak kenderaan penghuni.

“Kesan hentaman kuat itu menyebabkan kepala mangsa cedera parah sebelum mangsa yang memakai kemeja-T pendek maut serta-merta di lokasi kejadian. Insiden berkenaan yang turut disedari pengawal keselamatan di kondominium berkenaan,” katanya.

Menurutnya, anggota polis daerah Ampang yang dipanggil ke lokasi kejadian kemudian menjalankan siasatan sebelum mengesyaki terdapat unsur jenayah berhubung punca kematian mangsa.

“Berikutan itu pihak Polis Forensik Selangor dipanggil ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan susulan bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

“Siasatan polis turut menemui beberapa tin minuman keras dipercayai diminum mangsa sebelum ditemui mati. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk menjalani bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kakak mangsa kini ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk diambil keterangan berhubung punca kejadian berkenaan.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui di lokasi kejadian mendakwa terdengar bunyi pergaduhan dari unit kondominium itu kira-kira jam 2 hingga 3 pagi.

Seorang penduduk yang enggan dikenali mendakwa mendengar mangsa bertengkar dalam bahasa Mandarin berhubung isu visa dan pasport mangsa yang dipegang oleh pihak lain.

“Ada kemungkinan mangsa dipaksa bekerja oleh ejen yang menjadikan pasport dan visanya sebagai ‘tawanan’ menyebabkan mangsa tertekan hingga terjun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

yeogie daetgeul ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...